Thursday, March 25, 2021

VIDEO YOUTUBE PERKONGSINGAN ILMU KEBANKRAPAN

 PERKONGSIAN ILMU KEBANKRAPAN

https://www.youtube.com/watch?v=bB6aClBOl9w  

DUNIA BANKRAP

BAB 1 - PENGENALAN DUNIA BANKRAP

EPISOD 1

25.3.2021


Email:

zulkefli.shamsudin2021@gmail.com

Whatsap:

011-62764942


https://www.youtube.com/watch?v=bB6aClBOl9w

Tuesday, October 29, 2019

Kisah Orang Bankrap – Episod 1


Kisah Orang Bankrap – Episod 1


            Nama aku Zulkefli Shamsudin. Aku membantu orang bankrap dengan cara tersendiri. Aku menyediakan perkhidmatan konsultasi bagi membantu orang bankrap menghadapi masalah mereka. Ini adalah kisah pertama yang aku kongsikan di blog ini. Dengan tujuan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang masalah yang dihadapi orang bankrap.

            Aku diperkenalkan kepada seorang pelanggan oleh seorang rakan aku yang juga seorang Dato. Menurut Dato, rakannya itu adalah bekas pegawai tentera unit khas. Maka aku fahamlah maksudnya. Nama rakan Dato ini aku sebut sebagai M dalam kisah ini.

            Aku, Dato dan M berbual di sebuah cafe kopi di ibu kota. Waktu itu M itu belum lagi mengalami masalah bankrap. Namun mempunyai masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana tunggakan cukai pendapatan. Maka kami berbual-bual mengenai masalah yang M hadapi dan memberi pendapat masing-masing mengenai jalan penyelesaian dengan masalah LHDN ini.

            Selang beberapa bulan dari hari kami berbual di cafe kopi itu, aku mendapat panggilan telefon daripada M. Selang beberapa minit sebelum itu Dato telah menghantar mesej wassap memberitahu M akan menghubungi aku mengenai masalah yang dihadapi.

            Usai menjawab salam dan memperingatkan kembali dirinya mengenai pertemuan kami bertiga di cafe kopi beberapa bulan dulu, M terus menceritakan masalahnya. M telah dijatuhkan hukuman bankrap oleh LHDN kerana kegagalan M menjelaskan tunggakan cukai pendapatannya.

            Aku terdiam mendengar M menceritakan semua ceritanya sehingga tamat. Kemudian aku meluahkan rasa terkejut, kerana tidak sampai setahun M mendapat notis tunggakan daripada LHDN tetapi telah dijatuhkan hukuman bankrap. Aku memberitahu M bahawa selama lebih kurang 10 tahun aku menguruskan kes kebankrapan, inilah kes pertama yang aku lihat amat pantas dibankrapkan. Kurang 12bulan daripada notis tunggakan. Terkejut. Itu reaksi pertama aku.

            Namun perkara telah berlaku. Hukuman bankrap telah dijatuhkan. Tiada apa yang boleh dibuat untuk melawannya. Kerana untuk melawan Perintah Mahkamah Tinggi memerlukan kos yang besar untuk membawa perbicaraan semula melawan hukuman tersebut. Banyak perkara untuk dibuat seperti mencari peguam untuk melawan kes. Fakta-fakta dan bukti-bukti untuk menunjukkan bahawa hukuman bankrap itu tidak boleh dijatuhkan kepada diri yang dihukum.

            Oleh itu, aku menasihati M bahawa beliau perlu reda dengan perkara ini. Tuhan telah memilih dirinya menjadi insan terpilih untuk hidup dalam ‘Dunia Bankrap’. Daripada puluhan juta rakyat Malaysia, M merupakan antara ribuan insan yang terpilih untuk mendapat hukuman bankrap. Ia bukan penghinaan. Bagi aku, hukuman ‘Bankrap’ adalah hadiah daripada Tuhan untuk insan yang terpilih yang Dicintai.

            Kerana apa aku berkata begini, sebab apabila kita dijatuhkan hukuman ‘Bankrap’, kita akan terdiam sebentar. Ada yang kata tersentak. Terkejut. Tergamam. Apa saja ‘ter...’ akan terpancul keluar untuk menjelaskan situasi dijatuhkan hukuman ‘Bankrap’ ini.

            Waktu terdiam sejenak itu, sebenarnya kita patut gunakan untuk ‘Muhasabah’. Apa maksud ‘Muhasabah’? Maksudnya menurut kamus bahasa melayu adalah “perbuatan menilai diri (fikir­an, pendirian, dsb) utk pembaikan diri sendiri”. Perkataan ‘Muhasabah’ itu terpakai untuk diri sendiri. Maka tidak perlu disebut ‘Muhasabah Diri’ kerana ‘Muhasabah’ itu memang maksudnya ‘perbaiki diri sendiri’.  

            Kembali kepada masalah M tadi, aku menasihati M supaya tenang dan ‘muhasabah’. Dengan pantas aku terus mengajak M hadir ke ‘Kelas Konsultasi Kebankrapan’ yang aku uruskan. Aku beritahu dia bahawa aku akan ajarkan segala ilmu berkaitan kebankrapan dari mula memasuki ‘Dunia Bankrap’ hingga ke jalan keluar ‘Dunia Bankrap’ itu nanti. M berasa sedikit lega dan setuju untuk hadir ke kelas ‘Kelas Konsultasi Kebankrapan’.

            Selang beberapa hari selepas itu, M hadir ke pejabat aku di Kajang, Selangor. M hadir bersama seorang rakannya bagi mendengar ‘Kelas Konsultasi Kebankrapan’ itu. Sewaktu ingin memulakan kelas, aku bertanya kepada M dan rakannya mengenai level kefahaman beliau mengenai ‘Dunia Kebankrapan’. Dari skala 1 (amat tidak faham) hingga skala 5 (amat faham), M meletakkan dirinya dalam kategori skala 2 (kurang faham) dan rakannya pun pada skala yang sama.

            Pada permulaan kelas, aku menunjukkan kepada M antara senarai manusia paling kuat berpengaruh di dunia iaitu pemimpin dunia yang juga pernah menjadi bankrap. Satu persatu senarai nama aku tunjukkan kepada M. M terperanjat kerana tidak sangka bahawa Ketua Polis Dunia juga pernah menjadi bankrap. Aku tunjukkan pula antara manusia-manusia terkaya di dunia yang menjadi bankrap. M juga terkejut dengan senarai nama aku tunjukkan itu. Aku kecilkan skop kepada beberapa artis dan selebriti dunia yang bankrap. M menunjukkan reaksi sama. Terkejut. Aku kecilkan skop dan tunjukkan nama-nama artis dan selebriti di Malaysia yang pernah menjadi bankrap. M menganggukkan kepala kerana tak sangka artis juga kalangan manusia yang ditimpa masalah kebankrapan yang sama.

            Kemudian aku tunjukkan sebab-sebab utama kebankrapan. M angguk kepala tanda setuju kerana dia faham semua sebab musabab itu adalah benar kerana ia semua adalah statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Iaitu sebuah jabatan yang menguruskan hal-hal kebankrapan.

            Setelah itu semua, aku tunjukkan kepada M tentang sekatan-sekatan menjadi orang bankrap. Aku jelaskan ada perbezaaan antara ‘Stigma Masyarakat’ dengan ‘Peruntukan Undang-Undang’. Stigma masyarakat kata seorang bankrap, hartanya akan ditarik. Harta benda bankrap akan dilelong. Bankrap tidak boleh ada akaun bank. Akaun bank ditutup. Tidak boleh ke luar negara. Pelbagai lagi stigma masyarakat yang menakutkan.

Kemudian aku jelaskan, menurut undang-undang, Akta Kebankrapan 1967, hanya terdapat 8 sekatan terhadap bankrap. Antaranya, segala harta milik bankrap (yang tidak bercagar) akan diambil oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dan dihasilkan bagi tujuan membayar hutang kepada si pemiutang. Ia selaras dengan sub seksyen 24(4) Akta Kebankrapan yang menyatakan, “Apabila seorang penghutang dihukum bankrap, hartanya hendaklah menjadi boleh dibahagikan di antara pemiutang-pemiutangnya dan hendaklah terletakhak dengan Ketua Pengarah Insolvensi.” Ini yang dimaksudkan bagi menjelaskan stigma masyarakat bahawa harta bankrap akan ditarik dan dilelong.

Bagi sekatan tidak boleh ada akaun bank, stigma masyarakat ini tidak benar sepenuhnya. Memang pada awal kebankrapan, akaun bank bankrap akan ditutup. Tetapi apabila bankrap hadir ke Jabatan Insolvensi Malaysia dan memohon membuka akaun bank, maka kebenaran akan diberikan dengan beberapa syarat. Oleh yang demikian, stigma masyarakat yang kata bankrap tidak boleh ada akaun bank itu tidak benar sepenuhnya. Bankrap boleh membuka akaun bank dengan kebenaran jabatan.

Begitu juga dengan sekatan ke luar negara. Bankrap boleh sahaja memohon untuk ke luar negara dengan kebenaran jabatan. Tetapi ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi. Ini semua adalah antara perkhidmatan yang aku sediakan sebagai Konsultasi Kebankrapan. Apa sahaja permohonan bankrap boleh diuruskan.

Usai aku menjelaskan semua sekatan kebankrapan menurut peruntukan undang-undang berbanding stigma masyarakat yang tidak betul sepenuhnya, M berasa lapang dada. Jelas dan faham. Bahawa menjadi seorang bankrap adalah tidak sesukar yang dibayangkan.

Kemudian aku tanyakan kepada M, sekiranya beliau belum jatuh hukum bankrap, berapa bayaran bulanan yang perlu beliau bayar kepada LHDN supaya tidak dijatuhkan hukuman bankrap? M menjelaskan bahawa dia telah membuat tawaran untuk membayar kepada LHDN dengan 4 kali ansuran bagi menjelaskan tunggakan cukai pendapatan yang berjumlah RM90ribu. Maknanya sekali bayaran berjumlah RM22,500.

Aku kemudian bertanya, berapa jangkaan M perlu bayar kepada Jabatan Insolvensi Malaysia selepas dijatuhkan hukuman bankrap? M kata dia mohon bayaran paling minima. Aku katakan paling minima bayaran di Jabatan Insolvensi Malaysia adalah RM100 sebulan. Melopong M mendengar penjelasan aku. Ya benar. RM100 adalah jumlah bayaran bulanan paling minima di Jabatan Insolvensi Malaysia. Namun ianya bergantung kepada 10% daripada pendapatan bulanan bankrap tersebut.

M memberitahu bahawa sebagai pesara tentera, beliau menerima bayaran pencen lebih kurang RM1,700 sebulan. Maka aku jelaskan bayaran bulanan beliau kepada Jabatan Insolvensi Malaysia paling minima adalah RM170 sebulan. Adakah M berasa berat dengan jumlah ansuran RM170 itu? M memandang aku dan tersenyum. Hehe. Faham benar maksud senyuman itu.

Tetapi aku jelaskan lagi, andai kata M tidak mampu membayar ansuran bulan sebanyak RM170 itu, maklum kepada aku. Aku akan buat surat rayuan agar bayaran bulanan itu dapat dikurangkan kepada RM100 sebulan sahaja. Ini kerana ia adalah perkhidmatan yang aku sediakan sebagai Konsultasi Kebankrapan.

Maka secara perbandingan dalam kes ini, RM22,500 sebulan bayaran kepada LHDN dalam 4 kali ansuran bulanan jika belum bankrap. Dibandingkan dengan RM170 sebulan selepas dijatuhkan hukuman bankrap, maka berapa peratuskah perbezaan ini?

Seterusnya aku tunjukkan pilihan jalan untuk keluar dari ‘Dunia Kebankrapan’ kepada M. Ada 3 jalan mengikut peruntukan akta dan semuanya mempunyai syarat-syarat tersendiri. Akhirnya M membuat kesimpulan dan berkata, “Tuan, saya rasa biarlah saya duduk dulu dalam Dunia Bankrap ini. Rasa cantik pula jalan ceritanya.”

Begitulah kesimpulan cerita aku dalam Episod 1 ini. Semuanya adalah kisah benar orang bankrap yang juga menjadi pelanggan aku. Sebenarnya ‘Dunia Bankrap’ ini adalah satu dunia yang agak misteri. Hanya mereka yang mempunyai ilmu dapat meneroka keindahan dunia ini. Mereka yang jatuh ke dalamnya tetapi tidak mempunyai ilmu kebankrapan mungkin akan tersesat dan berpusing-pusing di dalamnya tanpa pandu arah. Dapatkan ‘Kompas Panduan’ anda. Hubungi aku untuk mempelajari ‘Ilmu Kebankrapan’ ini.

Benarlah kata seorang Datuk, “Bankrap bukan penamat hidup. Bankrap adalah suatu perjalanan.” Dan aku menambah, “Perjalanan meneroka dunia baru. Dunia kebankrapan yang penuh liku, onak dan ranjau. Maka sediakan diri anda dengan ilmu. Agar dapat menempuh perjalanan yang penuh cabaran itu. In Sha Allah anda akan berjaya tempuhi dan bebas keluar daripada Dunia Kebankrapan satu hari nanti.” - zulkefli.zakpol@gmail.com